mutakhir

Rampas ketam bulu hidup

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mematahkan cubaan membawa masuk ketam bulu hidup 20 kilogram (kg) dari China tanpa dokumen sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki warga Malaysia di balai ketibaan KLIA pada 10 malam 19 Oktober lalu.

Menurutnya, pemeriksaan itu mendapati, lelaki terbabit membawa 20 kg ketam bulu yang diletakkan di dalam lima polisterin berasingan.

“Ketam bulu itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaannya sendiri di samping pemberian rakan baiknya.

“Ia dianggarkan bernilai RM2,500 dan dirampas serta akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketam bulu itu dirampas kerana tiada dokumen sah seperti permit import dan sijil kesihatan dari negara asal.

Mengulas lanjut beliau berkata, perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit import sah daripada MAQIS adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 6:28pm
d