mutakhir

Dana SRC masuk poket Najib

Oleh Murni Wan Omar

“ADALAH mustahil tertuduh tidak mempunyai kepentingan dalam dana RM42 juta milik SRC International kerana ia berakhir masuk ke dalam poketnya,” hujah Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di akhir pendakwaan berkaitan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 66.

Tommy berhujah bahawa dakwaan pembelaan tertuduh tidak mempunyai kepentingan dalam dana itu adalah tidak benar kerana SRC mempunyai aset bernilai RM42 juta.

“Tertuduh adalah ‘Pengarah Bayangan’ untuk SRC yang mendapat faedah dari segi kewangan. Kepentingan tertuduh dalam SRC dikaburi dengan ‘asap dan cermin’ yang mana ia dibuat di belakang penyamaran individu yang hilang dan karakter yang dipersoalkan.

“Bagaimanapun, fakta menunjukkan bahawa ia adalah tertuduh dan proksi beliau yang menarik tali di belakang tirai SRC,” katanya.

Menurut Tommy, jika tidak benar kenapa kerajaan berminat dan menarik semua tali bagi membantu SRC iaitu sebuah syarikat yang baru beroperasi tidak sampai setahun dan tidak mempunyai sebarang rekod.

“Kerajaan begitu berminat membantu memudahkan pinjaman RM2 bilion dan diikuti dengan RM2 bilion lagi dalam tempoh lapan bulan.

“Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan dan menunjukkan kepentingan tertuduh dalam SRC.

“Tertuduh mempunyai kawalan terhadap SRC sebagai pengarah bayangan. Kuasa melantik dan memecat yang diberikan kepada Najib membuatkan beliau mempunyai kuasa mutlak membuat keputusan.

“Tiada yang boleh diputuskan tanpa mendapat pendapat tertuduh,” katanya.

Tambah Tommy, Najib perlu dipanggil membela diri atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Kamu (Najib) mengatakan wang itu tersalah masuk. Undang-undang membabitkan bank dan pelanggan adalah ketat.

“Pelanggan mempunyai kewajipan kontrak untuk memeriksa penyata bank bulanannya untuk kamu berkata begitu.

“Tolonglah, tertuduh perlu jelaskan bagaimana dengan gaji beliau yang kurang RM1 juta, sejumlah dana RM42 juta dimasukkan dan tiada satu cek pun yang beliau keluarkan ditendang. Ini adalah menakjubkan,” katanya.

Terdahulu, Tommy berhujah bahawa penubuhan SRC dibentuk secara salah oleh tertuduh sendiri dan memberi keuntungan terhadap Najib selama beberapa tahun.

“Najib terbabit sepenuhnya dalam pembentukan SRC. Sebaik penubuhan, artikel dalam memorandum dan artikel (M&A) SRC dipinda bagi memberinya kuasa mutlak.

“Kenapa tertuduh berbuat demikian? Pastinya ada sesuatu di sebalik pindaan artikel itu,” katanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhujah bahawa dakwaan Najib tidak mengetahui berhubung sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya tidak boleh diterima.

“Kami berhujah ia hanya ‘drama’ semata-mata dengan mengambil kira beberapa faktor iaitu sebagai Perdana Menteri (ketika kejadian) dan Menteri Kewangan menggunakan RM42 juta seperti yang dituduh terhadapnya.

“Tertuduh sepatutnya memfailkan saman terhadap pihak bank untuk pengubahan wang haram atau membuat laporan polis berhubung wang masuk ke dalam akaun miliknya itu dan membiarkan pihak polis menyiasatnya,” katanya.

Namun Sithambaram berkata, Najib tidak membuat sebarang tindakan itu untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

“Mesej yang disampaikan oleh Jho Low kepada tertuduh bukan hanya sekadar dengar cakap ‘hearsay’, malah ia dibuktikan melalui keterangan saksi.

“Kebenaran dan ketepatan tindakan tertuduh disahkan dan bukan dengar cakap.

“Tindakan oleh tertuduh boleh disahkan melalui pesanan ringkas Blackberry antara Jho Low dengan saksi pendakwaan ke-54, bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 6:41pm
d