mutakhir

'Saya bukan nak jadi hero'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“NIAT saya bukan nak jadi hero tetapi saya cuba sedaya upaya bertarung nyawa untuk menyelamatkan kesemua mangsa dari lemas tapi hanya dapat selamatkan seorang saja kerana ketika itu saya sendiri hampir lemas,” kata Saiful Akmal Ahmad Shaidi.

Saiful Akmal, 27, menerima Sijil Hero Bomba yang disampaikan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, hari ini.

Dia berjaya menyelamatkan nyawa seorang remaja berusia 14 tahun yang hampir lemas di rumah pam Sungai Pedu, Kampung Tanjung Pedu, Padang Terap pada 7 Februari lalu.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, Saiful Akmal dikatakan baru selesai mandi di kawasan itu sebelum terdengar jeritan dari ahli keluarga mangsa memberitahu tiga mangsa sedang lemas.

Katanya, dia terus terjun ke dalam sungai berkenaan untuk menyelamatkan mereka tetapi hanya sempat menyelamatkan seorang.

“Dua beradik berusia 14 dan 16 tahun itu tenggelam dan datuk mereka yang cuba untuk membantu juga turut lemas.

“Saya dah cuba sedaya upaya menggunakan tenaga yang ada tetapi disebabkan tekanan air yang agak laju, saya tak berdaya menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian itu, mayat Mohamad Ramli Ibrahim, 65, dan dua cucunya, Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan Nor Shariza Hafiza, 14, ditemui tidak jauh dari kawasan itu.

Menurut Saiful Akmal, dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk JBPM kerana menganugerahkannya sijil Hero Bomba kepadanya hari ini.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 12:24pm
d