mutakhir

Lelaki ugut Lim Kit Siang ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LELAKI yang dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap Penasihat DAP Lim Kit Siang sudah ditahan polis di Temerloh, Pahang kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, berkata, suspek yang memuat naik komen berbaur ugutan di media sosial ditahan pada 7.30 malam dan direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan Howard Lee Chuan How pada 15 Oktober lalu membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterima Kit Siang menerusi hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook (FB).

Sementara itu, Huzir berkata, Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu Prof Emeritus Zainal Kling yang didakwa mengeluarkan kenyataan boleh menimbulkan ketegangan kaum akan dirakam keterangannya pada Jumaat ini.

“Polis sudah merakam percakapan pengadu yang membuat laporan terhadap Zainal.

“Kita juga akan semak penganjur dan akan panggil untuk beri keterangan,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga berkata, dua saksi yang juga pengendali FB bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil memberi keterangan berhubung satu hantaran yang berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 6:06pm
d