mutakhir

KDN haramkan komik kontroversi

Oleh Hairulazim Mahmud

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U. (A)288/2019.

KDN dalam kenyataan hari ini menegaskan, warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Perintah ini menetapkan percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan mengenai komunis serta

mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut KDN, komik itu juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan

tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Katanya, kandungannya dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecahbelahkan keharmonian dan

perpaduan masyarakat di negara ini.

“Sehubungan itu, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikan bagi apa jua maksud seperti itu apa-

apa hasil penerbitan larangan melakukan kesalahan.

“Boleh disabitkan dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti ditetapkan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, jika masyarakat awam mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman

sesawang http:/fmoha.spab.gov.my.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 8:20pm
d