mutakhir

Perogol kanak-kanak dipenjara 40 tahun, 24 sebatan

Oleh Norasikin Daineh dan Hazsyah Abdul Rahman

BURUH ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan atas kesalahan merogol anak majikannya oleh Mahkamah Sesyen Sandakan, hari ini.

Hakim Indra Ayub menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ayub Darman, 25, selepas mengaku salah terhadap tiga pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan perbuatan merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tujuh bulan di ladang kebun sawit di sebuah kampung di daerah ini pada 15 November 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh merogol mangsa sama pada 5 Jun tahun lalu di ladang sebuah kampung di daerah ini.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh didapati merogol mangsa di bilik tidur di sebuah kampung di daerah ini pada 5 Oktober tahun lalu.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Tertuduh yang mengaku salah dikenakan hukuman penjara 10 tahun penjara dan enam kali sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 12 tahun serta lapan sebatan bagi pertuduhan kedua serta hukuman penjara 18 tahun bersama 10 sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukumannya diringankan dengan alasan sudah menyesal dan berjanji akan berubah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto memohon hukuman dikenakan terhadap tertuduh setimpal kerana ia adalah kesalahan serius terhadap kanak-kanak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap.

Terdahulu, Mohd Ayub dijangka dituduh di mahkamah sama esok, untuk tiga lagi pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan satu lagi kesalahan memasuki Sabah tanpa pas sah.

Caption

Tertuduh diiringi anggota polis di Mahkamah Sandakan.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 9:11pm
d