mutakhir

Peguam fail usul cabar penubuhan sekolah vernakular

Oleh Petah Wazzan Iskandar

SATU notis usul difailkan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini berhubung persoalan perundangan sama ada Menteri Pendidikan mempunyai kuasa untuk menubuhkan sekolah vernakular termasuk memberi peruntukan jutaan ringgit.

Notis usul terbabit difailkan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman.

Dalam permohonannya, Mohd Khairul Azam mendakwa parlimen tidak mempunyai kuasa memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Pendidikan untuk menubuhkan Sekolah Rendah Jenis Cina (SKJC) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (SKJT).

Ini kerana Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa sedemikian.

Berdasarkan faktor itu, Mohd Khairul Azam memohon satu perintah deklarasi bahawa parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Beliau menamakan Menteri Pendidikan Malaysia sebagai defendan pertama manakala Kerajaan Persekutuan, defendan kedua.

Sementara itu, Mohd Khairul Azam berkata, tindakan itu bukanlah bersifat perkauman kerana ia difailkan mengikut saluran perundangan yang berkaitan Perlembagaan.

Beliau berkata, melihat kepada intipati Belanjawan 2020 yang memperuntukkan RM127 juta kepada sekolah vernakular, mendorongnya untuk mengambil tindakan itu.

“Sebagai pembayar cukai, kami mahu pastikan kerajaan hanya membayar (memberi peruntukan) hanya kepada institusi yang dibenarkan undang-undang.

“Maka jika mahkamah memutuskan ia tidak sah, pemberian dana atau peruntukan tidak boleh dilakukan.

“Ini membolehkan kerajaan jimat seterusnya menyalurkan peruntukan terbabit ke sekolah yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Shaharudin Ali berkata, asas permohonan itu ialah untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan sama ada parlimen mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996

“Kami memfailkan afidavit lebih 50 muka surat dan saya rasa lebih baik kita simpan dulu afidavit ini dan tidak diedarkan sebelum ia diedarkan kepada pihak yang terbabit dalam kes ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 10:02pm
d