mutakhir

Veteran UMNO Pulau Pinang meninggal dunia

Oleh Mohd Hilmie Hussin

BEKAS Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi, pada usia 73 tahun.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, beliau menerima berita terbabit daripada rakan parti kira-kira 8 malam.

“Difahamkan, arwah meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit, termasuk penyakit jantung,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zaidi berkata, Allahyarham Azhar sebelum ini menetap di Pulau Pinang namun tinggal bersama anaknya di Mutiara Damansara sejak uzur.

Beliau berkata, keadaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga itu bertambah uzur sejak tiga bulan kebelakangan ini.

Katanya, jenazah akan dibawa ke rumah anaknya di Mutiara Damansara dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, 10 pagi ini.

Allahyarham Azhar adalah ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Sebelum menjadi wakil rakyat selama lima penggal (1997 hingga 2008) dan menjadi Exco selama tiga penggal, Allahyarham pernah mempengerusikan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (1995 hingga 1997).

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 12:06am
d