mutakhir

Ubat pun nak seludup?

Oleh Abdul Rahemang Taiming

CUBAAN dua warga tempatan menyeludup masuk pelbagai ubatan ke negara ini gagal apabila salah seorang daripada mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) perairan Singamata, di Semporna, kelmarin.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, suspek, lelaki dan wanita masing-masing berusia 56 tahun yang menaiki pam bot dikesan oleh anggota PPM.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sebaik dihampiri bot PPM, juragan pam bot terbabit bertindak memecut laju apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, selepas mengejar selama hampir 15 minit, bot pam berkenaan berjaya di pintas, namun lelaki yang mengemudi bot pam berkenaan bertindak terjun ke laut sebelum hilang tanpa kesan.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui pelbagai ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya kapsul Amoxicilin 500 miligram (10,000 biji), kapsul Ibuprofen Paracetamol (8700 biji) dan Cytotec Tablets (144 Biji).

“Turut ditemui, ubat jenis Zeozep Forte (400 biji), Dexamethasone (220 biji), dan 9,000 botol kaca (1ml),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya turut merampas dua unit enjin bot pam, telefon bimbit dan kad SIM dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM118,170.00.

Katanya, suspek wanita yang ditahan bersama barang rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Farmasi 1951.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 9:32am
d