mutakhir

Dua bot bertembung

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TIGA nelayan terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik berhampiran pusat peranginan, di Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, ketiga-tiga nelayan berkenaan dikatakan sedang menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 5.37 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Abdul Halim Mohd Zain tiba di lokasi 5.57 pagi bersama enam anggota.

"Setibanya di lokasi didapati dua bot berlanggar lalu terbalik dan berdasarkan maklumat, terdapat tiga nelayan di dalam dua bot itu.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka selamat namun hanya seorang cedera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Shukri Mohamad Sukuri, 25, dan abangnya, Mohd Hafiz Mohamad Sukuri, 28, dan manakala mangsa yang cedera, Nasir Ali, 38.

Beliau berkata, kesemua mereka diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat 7.36 pagi tadi," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 10:57am
d