mutakhir

Lepas geram ke van DBKL

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEKUMPULAN lelaki bertindak memecahkan cermin depan, belakang dan sisi kenderaan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika anggota penguat kuasanya melakukan serbuan di dua rumah urut di Bandar Baru Sri Petaling, di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL Osman Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa dari Cawangan Penguatkuasaan Premis melakukan serbuan di lokasi berkenaan, kira-kira 9 malam.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati kedua-dua premis berkenaan tidak memiliki lesen sebelum tindakan tutup diambil. Kami turut menyita 23 barangan pelbagai jenis yang digunakan bagi kegiatan tidak bermoral di premis berkenaan.

“Ketika proses dokumentasi barangan sita dilakukan, sebuah kenderaan rasmi DBKL dirosakkan sekumpulan lelaki dengan memecahkan cermin bahagian depan, belakang serta sisi sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Osman berkata, terdapat juga cubaan sogokan wang tunai sebanyak RM10,000 ditawarkan oleh pemilik premis terhadap pegawai DBKL untuk tidak meneruskan tindakan penguatkuasaan, namun tidak berjaya.

“Satu laporan polis dibuat sejurus selesai proses dokumentasi di Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut selain merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

“Kami akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM berkaitan kes ini. Pada masa sama, kami akan meneruskan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi daripada mana-mana pihak berkepentingan,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 2:39pm
d