mutakhir

Tawaran terakhir buat pemilik tanah Kampung Baru

Oleh Faliq Lajim

PEMILIK tanah di Kampung Baru ditawarkan harga baru iaitu RM1,000 setiap kaki persegi untuk pembangunan semula oleh kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, daripada harga itu, RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan oleh pemilik tanah.

Katanya, pemilik diberi empat pilihan iaitu pulangan tunai; pulangan unit siap; kombinasi pulangan tunai dan unit siap; dan pulangan pemegang saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV).

“Baki RM150 pula akan diberikan dalam bentuk saham dalam SPV yang akan ditubuhkan kelak.

“Perincian dari segi struktur pegangan saham akan diperhalusi oleh agensi kerajaan yang berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak.

“Saham ini bermakna pemilik kekal atas tanah yang dibangunkan. Kita nak galakkan orang Kampung Baru untuk tinggal di Kampung Baru. Apa yang kita mahu, mereka datang balik dan mempunyai saham di sini melalui tawaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Pengumuman Hala Tuju dan Tawaran Kerajaan Kepada Pemilik Tanah Kampung Baru di Lobi Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid berkata, kerajaan turut menawarkan potongan harga 15 peratus kepada pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.

“Sebagai contoh harga rumah Residensi Wilayah yang dibangunkan di Kampung Baru akan dijual kepada pemilik tanah pada harga RM255,000 seunit dengan keluasan lantai 900 kaki persegi, berbanding harga biasa RM300,000,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pemilik diminta untuk mengemukakan borang maklum balas mengenai persetujuan pembangunan semula Kampung Baru sebelum 15 November.

“Bagi pemilik tanah yang sudah mengemukakan borang sebelum ini tetapi menyatakan tidak setuju dengan tawaran ketika itu, dipohon untuk mempertimbangkan semula tawaran terbaharu dan menyerahkan semula kepada Pembangunan Kampung Baru (PKB).

“Pemilik yang mengembalikan borang dan sudah bersetuju tidak perlu mengisi semula borang maklum balas itu kerana kerajaan mengambil kira persetujuan terdahulu secara automatik,” katanya.

Khalid berkata, tawaran itu adalah yang terbaik dan terakhir daripada kerajaan kepada pemilik tanah Kampung Baru.

“Kita akan turun berjumpa penduduk bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai tawaran ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 4:46pm
d