mutakhir

Keputusan rayuan Rafizi 15 November ini [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

KEPUTUSAN rayuan Mohd Rafizi Ramli dan bekas kerani bank, Johari Mohamad terhadap sabitan dan hukuman mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) ditetapkan pada 15 November ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu hari ini selepas mendengar hujah pihak perayu dan pendakwaan bagi kes terbabit.

Mohd Yazid turut mengarahkan kedua-dua pihak supaya menyerahkan transkrip hujahan prosiding kepada mahkamah dalam tempoh 10 hari.

Terdahulu, peguam Naib Presiden PKR itu, Ahmad Nizam Hamid berkata, keterangan saksi pendakwaan iaitu Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail bersama dua wartawan tidak boleh diterima sebagai keterangan disebabkan eksibit P4 iaitu kenyataan media tidak boleh diterima di mahkamah kerana ia bukan salinan asal.

Menurutnya, pihaknya beranggapan pihak pendakwaan mempunyai masa yang cukup untuk mencari P4 berkenaan tetapi mereka tidak memanfaatkannya.

“Keterangan diberikan menggunakan salinan asal P4. Mereka ada masa untuk mencari tetapi gagal membuat penjejakan.

“Oleh dengan itu, pihak kami beranggapan pendakwaan gagal sepenuhnya untuk melengkapkan bukti,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dalam hujahnya berkata, peruntukan undang-undang tidak memerlukan usaha lebih daripada pihak pendakwaan bagi mencari dokumen hilang.

“P4 ini dokumen unik sebab diperoleh daripada saksi pendakwaan keempat yang mengakui menerima kenyataan media dari lokasi kejadian.

“P4 ini dikemukakan di mahkamah dan dia boleh mengecam salinan kenyataan media miliknya berdasarkan contengan dibuatnya,” katanya.

Sementara itu, galeri awam di mahkamah sesak dengan dibanjiri penyokong Mohd Rafizi termasuklah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Pada Februari tahun lalu, Mohd Rafizi, 42, dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC) pada 2012.

Hakim Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman itu terhadap Johari, 46, yang didakwa bersubahat dengan Mohd Rafizi bagi mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Rafizi dipenjara 30 bulan [METROTV]
  • Rafizi diarah bela diri
  • Dakwaan bersandar maklumat Rafizi
  • Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 5:21pm
    d