mutakhir

Dengarlah rintihan penduduk Flat PKNS ni...

Oleh Mohamad Hussin

PENDUDUK Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur mendesak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuka semula laluan air Sungai Bonus ke Sungai Klang sehingga projek tebatan banjir siap sepenuhnya.

Penduduk mendakwa punca masalah banjir kilat berlaku di kawasan itu disebabkan laluan air terbabit tidak dapat mengalir dengan baik kerana pihak berkenaan sudah melencongkan laluannya.

Wakil penduduk, Khairoul Khamis, 49, berkata, takungan air di jalan raya serta projek pembangunan di kawasan berhampiran memburukkan lagi keadaan kerana flat berkenaan terletak di kawasan rendah.

Menurutnya, sepanjang bulan ini sudah tiga kali penduduk mengalami banjir kilat menyebabkan paras air naik hingga ke pinggang selain mengancam keselamatan penduduk.

“Rumah pam yang disediakan JPS juga tidak mampu menampung kapasiti air yang meningkat menyebabkan saluran paip itu pecah dan melimpah hingga masuk ke dalam rumah penduduk.

“Sejak tiga kali berlaku banjir dalam bulan ini, penduduk mula berasa bimbang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda disebabkan kejadian berlaku terlalu pantas.

“Dalam kejadian pada 1 dan 22 Oktober lalu, sebahagian penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) kerana rumah mereka dimasuki air,” katanya yang ditemui di flat berkenaan hari ini.

Flat PKNS membabitkan tujuh blok yang mempunyai 254 unit rumah dan kedai yang didiami lebih 1,500 penduduk sejak dibina pada 1970.

Khairoul berkata, banjir kali ini adalah yang paling teruk sejak 20 tahun lalu akibat projek tebatan banjir yang dilaksanakan kira-kira dua tahun lalu selain projek MRT2.

“Penduduk berterima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Pengarah JPS dan wakil rakyat yang mengambil tindakan segera selepas berlakunya banjir kilat di kawasan ini.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu keputusan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) sama ada kediaman ini selamat diduduki atau sebaliknya berikutan berlaku keretakan di beberapa unit flat,” katanya.

Seorang penduduk, Nazrul Nizam Afandi, 26, berkata dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera kerana ketika ini musim hujan yang menyebabkan banjir kilat.

“Penduduk fobia setiap kali hujan lebat kerana bimbang banjir sekali gus paras air naik sehingga ke pinggang.

“Kami juga kecewa apabila dituduh tidak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk melakukan kerja menaik taraf projek tebatan banjir,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Syaffina Riza Januar, 38, mendakwa dia kerugian lebih RM15,000 selepas rumahnya dimasuki air hingga menyebabkan perabot dan barangan elektrik rosak.

Sementara itu, Pegawai JPS ketika dihubungi mendakwa isu berkenaan sudah diselesaikan dan enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 6:22pm
d