mutakhir

Pasukan khas tangani isu pasar borong

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PASUKAN khas akan ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berbangkit di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang terutama berkaitan kebanjiran warga asing yang memonopoli perniagaan di kawasan itu.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata, tindakan itu akan diambil dengan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta badan bukan kerajaan (NGO) khusus bagi memastikan isu lapuk terbabit dapat diselesaikan segera.

Menurutnya, pihaknya mendapati pelarian terbabit tinggal di kawasan Parlimen Batu terutama berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur dan majoriti mereka adalah warga Myanmar yang sebenarnya boleh bekerja dan berniaga di negara mereka sendiri.

“Saya juga berasa kesal kerana mereka berniaga secara haram dan bekerja dengan warga tempatan tanpa dokumen yang sah.

“Sepatutnya mereka tidak diberi peluang kerja di situ, sebaliknya belia kita mengambil peluang untuk mencari pendapatan.

“Sebelum ini, ada beberapa operasi dijalankan pihak berkuasa di kawasan ini hasil aduan penduduk setempat yang rimas dengan kehadiran pelarian ini.

“Selain penubuhan pasukan khas itu, saya juga mencadangkan beberapa strategi kepada pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti ini seperti menempatkan kabin JIM, PDRM serta menambah jumlah anggota penguat kuasa DBKL bagi tujuan pemantauan,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, katanya, pihaknya juga sudah mengusulkan agar DBKL menaik taraf infrastruktur di kawasan Pusat Bandar Utara, Taman Batu View dan yang berdekatan untuk kegunaan dan kemudahan rakyat.

Menurutnya, isu lain termasuklah kerja pembesaran jalan di Pasar Harian Selayang serta Projek Pasar Moden yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun depan.

“Dengan adanya Pasar Harian Selayang yang baru, saya yakin bahawa pertumbuhan ekonomi di kawasan Parlimen Batu dan sekitarnya akan semakin rancak dengan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan yang ada akan dapat memberi galakan kepada golongan B40 mengambil peluang bagi meningkatkan pendapatan serta meningkatkan kualiti kehidupan,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 6:43pm
d