mutakhir

Askar pintar untuk masa depan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KERTAS Putih Pertahanan (KPP) negara akan mewujudkan askar pintar dalam pertahanan moden dengan setiap tentera mampu mengendalikan peralatan teknologi canggih.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, antara kandungan draf awal yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada minggu lalu ialah pertahanan masa depan berbentuk pertahanan moden.

“Setiap tentera akan mampu mengendalikan peralatan komputer yang canggih, alatan siber, itulah yang dimaksudkan dengan pertahanan moden.

“Senjata tradisional seperti kapal dan kereta perisai masih diperlukan tetapi pertahanan pada masa akan datang juga memerlukan peralatan seperti dron, keselamatan siber dan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Dialog Perwira Siri 4/2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dialog itu berkaitan KPP yang terakhir membabitkan penyertaan 300 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat.

Panel dialog, Timbalan Setiausaha Bahagian Cawangan Dasar Dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Dasar & Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan, Sahipulhijaiman Sulaiman dan Ketua Staff Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman dan Profesor Madya Dr Kuik Cheng Chwee.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, draf awal KPP yang diluluskan hanya akan mengalami satu dua pembaharuan, sekiranya memerlukan.

“Kalau ada baru (penambahbaikan) tidak banyak, hari ini hari terakhir sesi dialog dan kita akan menyiapkan kertas putih sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan menjangkakan akan membentangkan KPP di Parlimen pada 2 Disember depan dan ia panduan terhadap apa yang perlu dilakukan kementerian dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 6:56pm
d