mutakhir

Jelebu mula dilanda banjir

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

BANJIR mula melanda Jelebu dengan 163 orang dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS), sejak malam tadi.

Ia selepas hujan lebat berterusan malam tadi dan limpahan air sungai menyebabkan lima kampung di Chennah dan Pertang dinaiki air.

Kawasan terjejas ialah Kampung Telekong Poum, Kampung Chennah, Kampung Juntai, Kampung Simpang Durian dan Kampung Jerang.

Lima PPS dibuka adalah di Masjid Kampung Poum, Dewan Orang Ramai Kampung Chennah, Balai Raya Kampung Juntai dan Simpang Durian serta Masjid Kampung Jerang.

Jurucakap Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata, PPS mula dibuka sejak 11.30 malam tadi.

“Seramai 47 keluarga membabitkan 163 orang dipindahkan di pusat pemindahan itu.

“Setakat ini, keadaan paras air masih lagi tinggi dan anggota APM Jelebu sedang melakukan pemantauan di lokasi,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Bagaimanapun katanya, ketika ini, cuaca baik dan namun pelbagai agensi sedang memantau situasi banjir di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 8:43am
d