mutakhir

Motif bawa bom tangan? [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

TIGA individu ditahan bersama sebutir bom tangan, parang dan rotan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran persimpangan lampu isyarat Serkam, Merlimau, Jasin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, polis turut menahan suspek wanita berusia 57 tahun yang menumpang kereta dinaiki dua lelaki masing-masing berumur 19 dan 33 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, semasa kenderaan suspek dihampiri sepasukan pegawai dan anggota polis, pemandu bertindak agresif, namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian but kereta yang sedang dalam perjalanan menuju ke Melaka telah menemui dua bilah parang dan dua batang kayu rotan.

“Turut dijumpai, sebutir bom tangan di bawah kerusi pemandu sebelum polis mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin.

“Bom kemudian diletupkan di satu kawasan lapang di dalam ladang kelapa sawit oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan dan polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Jasin, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957/ Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 10:28am
d