mutakhir

Naik mahkamah lagi... [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PEKERJA restoran didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan memiliki empat majalah yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas, Mei lalu.

Tertuduh, Hafiz Othman, 42, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Malim Nawar, Kampung Changkat Baru, Malim Nawar, Kampar, 2.30 petang, pada 18 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Asif Mohd Noor.

Terdahulu, Mohd Izhanudin memberitahu mahkamah, pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Selain itu, beliau memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Norashima kemudian membenarkan kedua-dua permohonan berkenaan.

Terdahulu tertuduh dibawa ke mahkamah pada 8.15 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis di luar dan dalam mahkamah.

Pada 30 Mei lalu, Hafiz didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan mengikut Seksyen 130 JA KK kerana pergi ke Wilayah Sinai Mesir dari Malaysia melalui Kaherah dengan niat melakukan aktiviti pengganas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Gate C1 Terminal Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 6.05 petang, 17 Mei lalu.

Difahamkan, tertuduh kini ditahan di Penjara Sungai Buloh bagi menunggu perbicaraan kedua-dua pertuduhan susulan kes dihadapinya adalah kes yang tidak boleh dijamin.

Berita berkaitan

Dua rakan didakwa pengganas

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 10:49am
d