mutakhir

'Inilah takdirku'

Oleh Siti Rohana Idris

KEMALANGAN jalan raya yang menimpa pendawai elektrik tiga tahun lalu menyebabkannya lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan kini hanya terlantar di rumahnya di Kampung Laut 3, Tumpat.

Mohd Rahiman Aladin, 30, tidak menduga tragedi itu memadamkan hasratnya untuk membantu keluarga terutama menjaga ibu, Wan Shamsiah Wan Ibrahim, 61, yang sudah uzur.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, dia kini terpaksa bergantung kepada ibu, kakak serta adiknya untuk menguruskan rutin hariannya termasuk mandi dan membuang air.

“Sepatutnya saya menjaga ibu dan keluarga tapi kini saya membebankan mereka dan ada kala saya rasa terkilan.

“Untuk makan dan minum saya boleh menguruskan sendiri termasuk memasang beg plastik kencing cuma untuk mandi dan buang air besar saja terpaksa menyusahkan mereka,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Mohd Rahiman dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang menyampaikan kerusi tandas beroda bagi memudahkan pergerakannya untuk membuang air besar.

Mohd Rahiman berkata, sebelum ini dia tidak memakai lampin pakai buang dan membuang air besar di atas katil dengan di alas plastik.

“Untuk mandi pula, saya perlu diangkat ibu, kakak dan adik sebelum diletakkan ke bawah dan dimandikan di lantai.

“Saya menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 dan ia meringankan beban perbelanjaan saya termasuk membeli set peralatan membuang air kecil,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan menerusi akaun Maybank milik Mohd Rahiman 164137552330.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 12:13pm
d