mutakhir

Maut motosikal terbabas

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

ANGGOTA tentera maut selepas motosikal ditunggang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di lereng bukit di Kilometer 235.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kuala Kangsar hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Lans Koperal Mohamad Aliff Hakimi Mohamad Fazillah, 23, dari Kompeni Markas Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling, Kedah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kemalangan itu pada 7.38 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang di kiri jalan.

“Mangsa kemudian tercampak ke lereng bukit di kiri jalan dan meninggal dunia di lokasi.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat sebelum jenazah dituntut ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razali berkata, pemeriksaan awal terhadap motosikal mangsa mendapati terdapat kesan calar pada bahagian kiri serta ekzos motosikal mangsa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 12:38pm
d