mutakhir

'Orang Melayu tidak boleh' - Tun M

Oleh Idris Musa

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sangat terkejut apabila dinasihatkan agar tidak menghadiri Kongres Maruah Melayu sebelum ini.

Beliau secara sinis berkata, kongres itu tidak boleh diadakan walaupun kumpulan etnik lain boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan urusan mereka.

“Tetapi orang Melayu tidak boleh, kerana (kononnya) perhimpunan mereka adalah perkauman,” katanya menerusi catatan di blog beliau chedet.cc hari ini.

Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam pada 6 Oktober lalu dihadiri Dr Mahathir bersama beberapa pemimpin lain.

Dr Mahathir berkata, kongres itu jelas menunjukkan kebimbangan orang Melayu akan kehilangan maruah dan seperti biasa ada pandangan melampau tetapi secara keseluruhan ia seimbang.

“Saya menghadiri Kongres Maruah Melayu kerana saya seorang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, adalah perkara biasa dalam negara berbilang kaum ini untuk rakyat mengekalkan identifikasi mereka dengan negara asal mereka walaupun berada di Malaysia dan memegang kewarganegaraan selama tiga generasi.

“Mereka tidak mahu kehilangan identiti kaum. Mereka memperlihatkan pautan etnik ini melalui bahasa, budaya, sekolah dan organisasi etnik mereka.

“Mereka sering mengadakan pertemuan rapat dengan kumpulan etnik mereka.

“Kadang-kadang saya akan dijemput untuk membuka mesyuarat ini dan diminta memberi ucaptama,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia, etnik diiktiraf sebagai sah dan wajar, berbeza dengan negara berbilang kaum lain.

Katanya, mereka mengamalkan bahasa dan budaya orang pribumi, terputus hubungan mereka dengan negara asal malah turut menukar nama mereka.

“Ia adalah ukuran toleransi penduduk asal di Malaysia bahawa perhimpunan yang terbatas kepada kumpulan etnik berbeza diterima seperti biasa,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 4:10pm
d