mutakhir

Seorang selamat, seorang maut, tujuh hilang

Oleh Fardy Bungga dan Hazsyah Abdul Rahman

WANITA maut dan tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak hilang susulan bot dinaiki karam dekat perairan Merabung, Lahad Datu, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih berterusan sejak Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dimaklumkan kejadian itu pada 3.05 petang semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, mayat wanita itu ditemui 9 pagi, hari ini ini oleh orang awam yang melihatnya terapung di Laut Tanduo, tiga batu nautika dari pantai.

Sebelum itu, katanya, pihaknya dimaklumkan kejadian oleh orang awam yang sempat menyelamatkan seorang lelaki dipercayai juragan bot karam terbabit

“Juragan terselamat dikenali Long Sahlihi, 29, dari Sibutu, Filipina, namun dia mengalami lecur di badan. Dia memberitahu membawa lapan individu termasuk dua kanak-kanak.

“Mangsa kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tungku, manakala usaha mengesan mangsa lain yang masih hilang diteruskan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, mayat wanita dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha mengesan tujuh lagi mangsa masih hilang sedang giat dijalankan.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 4:42pm
d