mutakhir

Akhirnya sindiket Macau Scam kantoi

Oleh Norasikin Daineh

KUMPULAN sindiket penipuan Macau Scam di Sabah tumpas selepas 80 individu ditahan polis kelmarin.

Ia susulan lelaki warga emas kerugian RM1.4 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, tangkapan membabitkan individu dipercayai warga China berusia antara 17 hingga 33 tahun itu melalui dua serbuan yang dilakukan Rabu lalu.

“Dalam kes ini, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun membuat laporan polis menyatakan menerima panggilan daripada ‘Inspektor Yong’ yang bertugas di Pulau Pinang.

“Ketika panggilan dibuat, lelaki yang menyamar sebagai Inspektor Yong memaklumkan kepada pengadu akaunnya digunakan untuk membuat transaksi penggubahan wang haram dan pengadu diminta memasukkan wang RM1.4 juta ke dalam 12 akaun berasingan.

“Disebabkan takut, pengadu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun dinyatakan tetapi pengadu merasakan dia tertipu sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Karamunsing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Susulan laporan itu, Omar berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan IPD Penampang membuat serbuan terhadap 11 unit kondominium di Lido Avenue Jalan Lintas Penampang.

“Lapan unit kondominium didapati didiami suspek dan hasil pemeriksaan, semua tangkapan adalah warga China termasuk 10 daripadanya memiliki pasport namun sudah tamat tempoh perjalanan manakala 70 lagi setakat ini tiada dokumen.

“Hasil serbuan turut berjaya merampas beberapa peralatan yang kita percaya digunakan untuk tujuan penipuan Macau Scam seperti komputer riba, komputer, telefon bimbit, tablet, alat peranti rangkaian, pengimbas kad, kad sim, pelbagai dokumen dan wang tunai termasuk mata wang China dan Vietnam,” katanya.

Omar berkata, satu lagi serbuan dibuat di kawasan berhampiran dan berjaya merampas beberapa dokumen tulisan cina dipercayai sebagai panduan untuk berkomunikasi dengan mangsa bagi tujuan penipuan.

“Antara barang yang dirampas dalam serbuan kedua termasuk komputer riba, komputer, telefon bimbit, alat peranti rangkaian, dokumen pelbagai, perakam waktu dan beberapa peralatan lain,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu turut melakukan pelaburan saham dan analisis awal panduan perbualan.

Omar berkata, semua tangkapan direman bermula semalam sehingga 27 Oktober ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai permit atau pas perjalanan sah,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 5:13pm
d