mutakhir

2 jam beri keterangan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KETUA Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling selesai memberi keterangan dua jam di Bukit Aman hari ini selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

Turut hadir bersamanya penganjur Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, 6 Oktober lalu, Profesor Dr Hashim Ismail.

Mereka yang ditemani peguam bela Muhamad Hisham Marzuki hadir memberi keterangan susulan laporan polis dibuat ahli Penang Society for Tamil Advancement, L Yoganathan sehari selepas kongres berkenaan.

Zainal yang berkemeja putih, berkot coklat muda, berseluar gelap dan bersongkok, tiba di perkarangan pintu masuk Bukit Aman 10 pagi tadi bersama beberapa kenalan rapat.

Muhamad Hisham berkata, kedua-dua individu itu selesai memberi keterangan selama dua jam bagi membantu siasatan polis.

“Mereka memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang keterangan diambil.

“Kami juga yakin polis akan menjalankan siasatan dengan baik berhubung isu ini,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, laporan polis itu dibuat terhadap Zainal yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai kongres itu menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Dalam pada itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan mereka hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan polis.

Katanya, tiada dokumen diserahkan sebaliknya hanya merakam percakapan mereka.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 5:58pm
d