mutakhir

Beli rumah sekunder atau subsale

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BELI unit rumah sekunder (subsale) kerana harga ditawarkan lebih murah dan ‘tulen’.

Itu nasihat pelabur dan pakar hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad kepada rakyat Malaysia yang tertekan dan sukar memiliki hartanah baharu yang dikatakan sangat tidak mampu milik.

Dr Azizul berkata, beliau akui mentaliti rakyat Malaysia lebih tertarik untuk memiliki hartanah baharu walhal tidak mampu dari segi kemampuan kewangan.

“Saya perasan mentaliti rakyat Malaysia sebenarnya suka membeli hartanah baharu kerana cantik dan ‘wangi’.

“Tapi sebenarnya kita boleh memberi tekanan kepada pemaju dengan membeli hartanah sekunder sekali gus dapat menurunkan harga rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, beliau juga tidak setuju kenaikan harga rumah disebabkan kos bahan binaan kerana berdasarkan kajian, kos bahan binaan tidak meningkat secara ketara sejak 10 tahun lalu.

Dr Azizul berkata, apa yang meningkat sebenarnya adalah nilai tanah di kawasan itu yang kemudiannya mempengaruhi harga rumah.

“Tidak tepat jika mahu kaitkan kenaikan hartanah disebabkan kos bahan binaan kerana selama ini kerajaan yang mengawal harga binaan itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau juga melihat kecenderungan pemaju perumahan meletakkan harga rumah secara ‘pukul rata’ bagi setiap jenis kediaman.

“Saya dapati pemaju biasanya meletakkan harga RM300,000 hingga RM400,000 bagi unit kediaman dua tingkat dan RM200,000 bagi unit kediaman setingkat.

“Justeru tidak hairanlah harga unit kediaman itu di Perlis, Kedah dan Rawang, Selangor lebih kurang sama harganya,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri sebenarnya ada menyediakan skim perumahan mampu milik yang mana harga ditawarkan serendah RM50,000 hingga RM70,000 namun hebahan mengenai skim itu tidak meluas.

“Rupanya ada kerajaan negeri sediakan skim rumah mampu milik namun ia tidak dihebahkan kepada umum,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengawal harga hartanah supaya ia tidak melambung tinggi.

Beliau berkata, kenaikan harga rumah disebabkan pelbagai faktor antaranya lokasi, kos bahan binaan, manipulasi harga rumah oleh spekulator dan pembiayaan perumahan yang tidak efisien.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengawal perkara ini termasuk tidak membenarkan pemaju membangunkan kediaman mewah saja sebaliknya menyediakan tapak untuk pembinaan rumah mampu milik.

“Saya akui wujud kecenderungan pemaju membina kediaman mewah,” katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan pendedahan dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) yang mana kediaman di Malaysia dikategorikan sebagai sangat tidak mampu milik.

Pendedahan itu dibuat berdasarkan kajian dibangunkan Demographia International dan dicadangkan oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Harvard.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah yang baharu dibangunkan berikutan harga disifatkan sebagai di luar keupayaan kewangan mereka.

Berita berkaitan

Harga rumah mahal sangat!

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 6:19pm
d