mutakhir

Lepas himpit, lari pula

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

BUKAN hanya menghimpit kenderaan penguat kuasa, pemandu lori bawa muatan rokok seludup turut nekad membahayakan dirinya sendiri apabila menyeberangi Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Tindakan berani itu semata-mata mahu mengelak daripada ditahan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang sempena Ops Sinar pada 1.15 pagi semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Azimah Abd Hamid berkata, suspek sebelum itu dikesan di Kilometer 183.5 LPT dekat Maran dan diarah memberhentikan kenderaannya.

Katanya, ketika itu lori tiga tan berkenaan dalam perjalanan dari Maran menghala ke Kuala Lumpur.

“Dia sudah diarahkan berhenti namun, suspek memecut dan menghimpit kenderaan anggota.

“Kenderaannya berjaya dipintas hingga memaksa dia berhenti di tengah lebuh raya, namun suspek nekad keluar dan melompat penghadang tengah jalan, menyeberangi laluan serta melarikan diri.

“Lori berkenaan diperiksa dan 180 kotak ditemui yang mengandungi 9,000 karton rokok jenama Canyon dan Canyon Menthol yang dengan cukai bernilai RM1.2 juta,” katanya pada sidang media di Rompin, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kastam Negeri Pahang, Maimon Zaid.

Azimah berkata, ia rampasan terbesar JKDM Pahang setakat ini, dalam usaha membanteras penyeludupan rokok di negeri itu.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dilakukan dan siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata sehingga Oktober, sebanyak 4,255 kes membabitkan rampasan pelbagai barangan dengan nilai cukai RM513 juta dicatatkan.

“Bagi Pahang, sebanyak 121 kes dilaporkan dengan nilai cukai lebih RM2 juta,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 6:27pm
d