mutakhir

Maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safin

KAKITANGAN Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut selepas dirempuh Honda Accord yang dipandu wanita warga China dipercayai mabuk berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, Georgetown, jam 6.50 pagi hari ini.

Mangsa, Mohaidin Gani Mohamad, 58, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ketika kejadian mangsa yang juga Pembantu Kesihatan Awam MBPP berhenti di lampu isyarat.

Beliau berkata, tiba-tiba sebuah Honda Accord dipandu wanita China berusia 24 tahun merempuh motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal dari arah belakang menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan kita sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Sampel darah pemandu kereta juga diambil daripada bagi ujian kandungan alkohol dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon reman ke atas wanita itu esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan (APJ) 1987.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan kenderaan dipandu wanita itu tidak berhenti ketika melalui lampu isyarat berkenaan sebaliknya merempuh dua motosikal dan sebuah kereta yang sedang berhenti di lorong tengah.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 6:48pm
d