mutakhir

Mangsa banjir di seluruh negara meningkat

Oleh BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 1,351 orang daripada 386 keluarga setakat 4 petang hari ini.

Ia berbanding 420 mangsa daripada 101 keluarga pada 8 pagi.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Baling di Kedah adalah kawasan paling teruk terjejas apabila 804 mangsa daripada 231 keluarga dipindahkan ke lapan PPS.

Di Johor, seramai 155 mangsa daripada 35 keluarga dipindahkan ke empat PPS dengan dua daripadanya di Pontian dan dua lagi di Batu Pahat.

Laporan Nadma menunjukkan Jelebu di Negeri Sembilan turut terjejas akibat banjir apabila 152 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke lima PPS di daerah itu.

Di Kuala Selangor, Selangor, dua PPS yang dibuka menempatkan seramai 110 mangsa daripada 29 keluarga.

Menurut laporan Nadma, di Kerian, Perak jumlah mangsa banjir yang dipindahkan adalah seramai 100 orang daripada 25 keluarga, manakala di Pulau Pinang seramai 31 orang daripada 25 keluarga.

Nadma turut melaporkan di Kerian, Jalan Bagan Serai menuju ke Alor Pongsu dan Selama ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 7:33pm
d