mutakhir

Roboh pusat cuci kereta haram

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

GOMBAK: Kawasan lapang di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikesan dijadikan lokasi pilihan pusat cuci kereta haram beroperasi di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, taktik pengusaha terbabit menjalankan aktiviti mencuci kereta di kawasan itu terbantut apabila struktur dibina dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 9.30 pagi, struktur tiga pusat cuci kereta termasuk dua daripadanya dibina di bawah pencawang TNB di lokasi terbabit dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi itu dilakukan di Kampung Melayu Batu Caves dan Jalan Sungai Tua di sini, membabitkan 20 anggota penguat kuasa dan lima kakitangan Jabatan Dalaman MPS.

“Premis cuci kereta pertama yang dirobohkan di Kampung Melayu Batu Caves selepas didapati beroperasi di atas jalan awam di hadapan sebuah tadika tanpa kelulusan MPS.

“Kami turut menyita dan merobohkan dua premis cuci kereta yang beroperasi di bawah pencawang TNB,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohamad Zin berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menyita satu tong kitar semula di bahu Jalan Selayang Mutiara kerana dijadikan tempat membuang sampah.

Katanya, tindakan itu mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Kerja meroboh pusat cuci kereta haram itu dilakukan berikutan beberapa pihak dikesan mendirikan premis sebegitu tanpa mendapatkan kelulusan dan permit daripada MPS.

“Difahamkan, pemilik pusat cuci kereta haram itu dimiliki individu tempatan manakala pekerja pula terdiri daripada warga asing,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 5:40am
d