mutakhir

Ajal tersangkut dalam saluran pembentung

Oleh Ibrahim IsaI

TIGA jam tempoh masa diambil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan mayat yang tersangkut dalam saluran pembentung flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.49 petang memaklumkan seorang pekerja pembersihan terjatuh ke dalam saluran berkenaan.

Menurutnya, susulan itu seramai 22 anggota membabitkan sebuah jentera, satu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi kejadian.

Suhaimi berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati seorang pekerja pembersihan warga Indonesia dikenali sebagai Muhamad Razi, 32, terperangkap dalam lubang pembentungan.

Katanya, bomba segera melakukan kerja menyelamat dengan menyedut air di pembentung utama dan lubang pembentung di mana mangsa berada.

“Kami berdepan kesukaran kerana badan mangsa tersangkut dalam lubang kedua pembentung, namun berjaya mengeluarkan mangsa dengan mengikat tali pada tubuhnya.

“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan jam 10.39 malam dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Kami difahamkan mangsa disedari terjatuh ke dalam lubang itu oleh rakan sekerjanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan jam 11.30 malam dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 8:14am
d