mutakhir

APMM rampas bubu naga

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 70 bubu naga di perairan Pulau Talang, Pantai Remis, Lumut, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang, alatan menangkap ikan dilarang penggunaannya itu dirampas sepasukan anggota Bot Penggalang 13 ketika melakukan rondaan di kawasan berhampiran.

Pemangku Pengarah APMM Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, bubu berkenaan dirampas daripada sebuah bot tanpa nombor pendaftaran.

“Anggota APMM mengesan bot berkenaan bersama dua awak-awak sedang memasang bubu naga, namun dua individu berkenaan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Mereka bertindak melarikan diri ke perairan cetek dan meninggalkan bubu naga berkenaan,” katanya dalam kenyataannya.

Menurutnya, rampasan itu adalah yang ke-16 dilakukan APMM Perak tahun ini dan rampasan terbanyak setakat ini.

“Semua bubu naga dirampas kerana menyalahi peraturan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif selain turut memerangkap anak ikan komersial, sekali gus menjejaskan hasil pendapatan nelayan pantai,” katanya.

Shahrizan berkata, justeru tindakan tegas akan diambil bagi memelihara kehidupan marin supaya tidak terjejas.

Katanya, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-683 8737 bagi menghalang kegiatan tidak bermoral.

Larangan penggunaan bubu naga berkuat kuasa 1 November tahun lalu berikutan boleh menyebabkan spesies anak ikan mengalami kepupusan kerana peralatan ini memerangkap anak ikan di sekitar persisiran pantai.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 10:14am
d