mutakhir

Masuk Malaysia buat jenayah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

BEKAS penuntut kolej swasta warga Bangladesh ditahan kerana menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen di negara sejak enam bulan lalu.

Suspek yang berusia 30-an ditahan pegawai Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam Op Serkap di sebuah premis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, 24 Oktober lalu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, dalam operasi bermula jam 1 tengah hari itu, pelbagai dokumen palsu seperti pasport Bangladesh, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan kad hijau CIDB (Kad Pendaftaran Personel Binaan) dirampas.

Katanya, selain itu pasukan serbuan turut menemui beberapa keping i-KAD yang dikeluarkan oleh JIM yang dipalsukan.

“Suspek dipercayai mengurus sendiri sindiket itu dengan menawarkan dokumen palsu kepada warga Bangladesh yang bekerja di sektor pembinaan, perkhidmatan dan perkilangan atau mereka yang mempunyai masalah dalam permohonan mendapatkan permit kerja lanjutan.

“Bayaran yang dikenakan bagi mendapatkan dokumen palsu itu pula adalah sekitar RM90 hingga RM250,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, setiap urusan bagi menawarkan dokumen palsu itu hanya dibuat menggunakan aplikasi Whatsapp.

Katanya, dalam serbuan itu JIM turut merampas satu set komputer riba, sebuah mesin pencetak dan cop JIM serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi memproses dokumen palsu.

“Suspek kini direman untuk tindakan lanjut kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana memalsukan atau meminda dokumen secara tidak sah.

“Suspek juga turut disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966,” katanya.

Hamidi berkata, orang ramai diharap turut sama membantu membanteras dan membebaskan negara daripada ancaman PATI dengan menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu JIM bagi menjalankan penguatkuasaan.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 3:12pm
d