mutakhir

Mungkin sambut Deepavali dalam hujan

Oleh BERNAMA

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara pada sambutan Deepavali esok.

Menurut kenyataan dikeluarkan, pada sebelah pagi, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di Pahang, Terengganu, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Hujan juga turut diramal berlaku pada sebelah pagi di beberapa kawasan di Sabah iaitu di Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan, manakala di Sarawak di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sementara pada sebelah petang, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di hampir seluruh Semenanjung serta beberapa bahagian di Sabah iaitu di Pedalaman, Pantai Barat, Tawau dan Sandakan.

Pada sebelah malam pula, hujan dan ribut petir dijangka terus berlaku hampir di seluruh Semenanjung serta di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, cuaca diramal baik di Sandakan dan Kudat di Sabah, juga di Kuching, Serian dan Samarahan di Sarawak pada sebelah malam.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 4:50pm
d