mutakhir

Serah siasatan komik pada KDN - Anwar [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Beliau berkata, isu itu juga sudah diselesaikan pada pertemuan bersama kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) pada minggu lalu.

“Serah kepada KDN untuk putuskan, jangan besarkan isu ni, tuduh-menuduh.. saya tidak setuju.. banyak masalah lain (yang perlu diselesaikan).

“Ini (perbalahan) hanya di kalangan penyokong, itu biasa. Minggu lalu, ada pertemuan bersama semua pimpinan PH. Kita bincang untuk selesaikan semua masalah dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, Anwar menyampaikan ucaptama pada Persidangan Inovatif Kemuncak Asia di Pusat Konvesyen SPICE, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pada 23 Oktober lalu, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik terbabit termasuk dalam versi Bahasa Inggeris dan Cina kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.

Sehubungan itu, sesiapa yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Susulan itu, KDN merampas 1,240 naskhah komik propaganda itu di beberapa lokasi sehingga semalam.

Sementara itu, Anwar menyifatkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu bahawa PH akan tetap berjaya tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanyalah sebagai pandangan peribadi.

“Itu tidak sepenuhnya dia cakap begitu. Itu pandangan peribadi dia, kita pun sudah jelaskan pentingnya keempat-empat parti iaitu DAP, BERSATU, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk teruskan agenda PH,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ronnie baru-baru ini yang antara lain berpandangan PH akan tetap berjaya walaupun tanpa BERSATU, selain mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kuasa prerogatifnya membawa PH menyimpang daripada nilai aspirasi asalnya.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 5:25pm
d