mutakhir

'Tak apalah, itu rezeki penduduk'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

BANJIR yang melanda Jelebu sejak 24 Oktober lalu menyebabkan sebuah kolam ternakan ikan talapia di Kampung Serdai Hilir, pecah sehingga menyebabkan ikan terlepas dan masuk ke Sungai Jerang.

Berikutan itu, dengan kebenaran pemilik syarikat Pertang Talapia Sdn Bhd, orang ramai menyerbu kawasan sungai berkenaan untuk menangkap ikan.

Pengurus syarikat berkenaan, Chia Ooi Ngian berkata, dianggarkan 10 tan ikan terlepas ke sungai berikutan kolam berkenaan pecah akibat banjir pada 24 Oktober lalu.

Katanya, kolam berkenaan mempunyai 50 tan ikan yang sudah boleh dijual.

“Kami memberi kebenaran kepada penduduk untuk datang menangkap ikan berkenaan manakala pekerja syarikat berusaha menyelamatkan ikan yang masih berada di dalam kolam.

“Ikan yang selamat dipindahkan ke kolam lain berhampiran dan sehingga kini usaha memindahkan ikan masih dijalankan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ooi Ngian berkata, syarikat berkenaan mempunyai sembilan kolam menternak ikan namun hanya satu yang pecah mengakibatkan kerugian sehingga RM400,000.

“Lebih 150 penduduk dari kampung berhampiran datang menangkap ikan dan percaya itu sudah menjadi rezeki penduduk terbabit,” katanya.

Penduduk, Karni Ali, 45, dari Kampung Rongoi berkata, sebaik dimaklum rakan, dia bersama 20 penduduk kampung datang ke sungai bagi menangkap ikan.

Katanya, suasana tidak ubah seperti pesta menangkap ikan dan dia tidak melepaskan peluang menangkap ikan menggunakan jala.

Mohd Azizan Mat Din, 58 dari Kampung Simpang Durian berkata, dalam tempoh dua jam dia berjaya menangkap 15 ikan yang dianggarkan seberat 10 kilogram.

“Apabila dimaklumkan rakan dalam kumpulan Whatsapp, pemilik kolam beri kebenaran untuk menangkap ikan, kami beramai-ramai datang sehingga menjadi seperti pesta,” katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 5:38pm
d