mutakhir

'Saya tahu awak kuat Pitt' - Farah

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

ISTERI kepada pengarah filem, Pitt Hanif, 40, iaitu Farah Ahmad mengesahkan suaminya hilang ketika memancing di Sungai Mela, Jerantut, Pahang, hari ini.

Berkongsi video di Instagram miliknya, Farah berkata, dia dalam perjalanan ke lokasi sebaik menerima makluman kejadian.

“I gonna see you Pitt (saya akan berjumpa awak Pitt), I know you strong (saya tahu awak kuat)," katanya menerusi video berkenaan.

Menurut Farah, jika ada dalam kalangan rakan mahu membantu lokasinya adalah di sungai berkenaan.

“Kejadian berlaku tengah hari tadi apabila Pitt memancing bersama Sham Mokhtar (Pengarah Fotografi bagi filem Coast Guard). Mereka dapat ikan, lepas tu....," katanya.

Terdahulu, Pitt yang juga anak kepada pelakon terkenal, Fauziah Nawi, 66, menjalankan aktiviti riadah itu sebaik menamatkan penggambaran filem Coast Guard pada jam 9 pagi.

Dia bersama rakannya yang juga jurukamera menaiki sebuah bot fiber sebelum ia terbalik dan terbelah dua.

Setakat ini, jurukamera berusia 38 tahun sudah ditemui manakala usaha mencari Pitt sedang dijalankan pihak berkuasa.

  • Anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas
  • Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 6:17pm
    d