mutakhir

Wanita maut, 11 cedera kemalangan empat kenderaan

Oleh Ibrahim Isa

WANITA maut, manakala 11 individu cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 19 Jalan Endau-Mersing, hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, Syarifah Norhamimie Syed Mohd, 40, yang menaiki Perodua Bezza bersama suami dan anak lelakinya, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, selain Perodua Bezza, kemalangan itu membabitkan dua Toyota Vios dan sebuah bas ekspres.

“Siasatan awal mendapati, Perodua Bezza dari Terengganu menuju ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan dan berlanggar dengan Toyota Vios berwarna kelabu yang datang dari arah bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah lagi Toyota Vios kuning dari arah Mersing gagal mengelak dan melanggar Perodua Bezza berkenaan.

“Pelanggaran itu menyebabkan enjin Perodua Bezza berkenaan tercabut dan terpelanting ke arah bas ekspres, yang dari Endau ke Mersing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyril Edward berkata, kejadian itu menyebabkan penumpang hadapan Perodua Bezza (Syarifah Norhamimie), meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, 11 mangsa mengalami kecederaan adalah tiga pemandu kereta, seorang pemandu bas ekspres, seorang penumpang Perodua Bezza dan enam penumpang Toyota Vios yang berusia antara setahun hingga 62 tahun.

“Mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat. Turut dihantar ke hospital sama, mangsa yang cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Amir Hamzah Aris berkata, 13 anggota dan dua jentera dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Apabila tiba, kami dapati berlaku kemalangan membabitkan empat kenderaan dan seorang wanita disahkan meninggal dunia,” katanya yang memberitahu pasukan membantu mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke hospital.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 7:30pm
d