mutakhir

6 rumah rosak dibadai ribut

Oleh Zuliaty Zulkiffli

HUJAN lebat disertai angin kencang menyebabkan bumbung enam rumah di dua kawasan di Jitra diterbangkan ribut hari ini.

Dalam kejadian 5 petang tadi, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, antara kawasan terbabit adalah di Kuala Kerpan membabitkan dua rumah dan empat rumah di Kampung Jerlun.

Beliau berkata, semua kerosakan membabitkan bahagian atas bumbung yang diterbangkan angin.

“Anggota kami bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat berhubung kejadian.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamalruzamal berkata, itu kejadian kedua membabitkan ribut yang mana sebelum ini membabitkan 38 rumah penduduk di lima kampung di daerah itu minggu lalu.

Dalam kejadian itu, kampung yang terbabit adalah di Kampung Sungai Korok, Kampung Kepala 10, Kampung Permatang Keriang, Kampung Pida 4 Deli, Kampung Daleh, Kampung Sungai Korok Balai Pos dan Kampung Pida 4 Mukim Tunjang.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 10:13pm
d