mutakhir

Dah tak risau kalau banjir

Oleh BERNAMA

SETIAP kali musim tengkujuh, air Sungai Golok akan melimpahi Kampung Terusan di Rantau Panjang di Pasir Mas sehingga menjadi ‘mimpi ngeri’ penduduk kampung itu terutama apabila memikirkan masalah kerosakan harta benda dan sebagainya.

Bosan dengan masalah kerosakan perabot serta peralatan elektrik setiap kali banjir melanda, penduduk kampung itu mengambil inisiatif membina bilik stor yang ketinggiannya mencecah tiga meter.

Ismail Salleh, 74, sanggup membelanjakan RM40,000 bagi membina bilik tambahan di rumahnya yang berfungsi sebagai stor menyimpan barangan rumah ketika tiba musim banjir.

“Pembinaan bilik tambahan ini adalah langkah jangka panjang bagi menghadapi tengkujuh. Ia dibina pada ketinggian melebihi tiga meter dan diharap dapat menyelamatkan barangan yang disimpan di situ.

“Sebelum ini paras lantai rumah saya sentiasa dinaiki air apabila musim banjir sehingga merosakkan banyak barangan elektrik serta perabot. Harapan saya kali ini air banjir tidak lagi dapat memasuki kawasan bilik yang baru dibina ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, anaknya, Mohd Nizam, 40, berkata, kawasan kampung itu yang turut didiami oleh 50 keluarga lain sentiasa berhadapan dengan ‘banjir termenung’ iaitu air banjir yang lambat surut.

Mohd Nizam berkata, bagi mengatasi perkara terbabit, penduduk biasanya akan membuat titi yang menyambungkan rumah ke laluan utama jalan raya untuk memudahkan sebarang urusan.

“Titian ini biasanya dibuat daripada beberapa batang buluh panjang daripada tebing ke tangga rumah bagi memudahkan pemilik rumah yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk keluar membeli barangan keperluan terutama ketika ‘banjir termenung’ berlaku.

“Ada juga penduduk yang membeli perahu atau bot gentian jika tidak membina titi untuk berulang-alik. Kenderaan seperti motosikal dan kereta juga diletakkan di kawasan tinggi lebih awal bagi mengelak kerugian,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Izariq Affendi Mohd Nawi, 19, berkata, setiap rumah penduduk di situ mempunyai bot atau perahu sebagai persediaan.

Katanya, kesemua perahu atau bot biasanya diletakkan di bawah rumah dan sekiranya paras air mencapai paras lutut barulah ia dikeluarkan.

“Setiap kali banjir melanda, bot atau perahu adalah pengangkutan utama walaupun ada sesetengahnya sudah terlampau usang.

“Seperti saya, perahu yang digunakan ini adalah yang digunakan oleh datuk saya dan kini saya generasi ketiga masih boleh menggunakannya lagi,” katanya.

Katanya, walaupun musim hujan sudah mula namun tidak lebat seperti musim tengkujuh, persiapan awal perlu dilakukan kerana kawasan kampung ini akan ditenggelami air banjir kerana terletak di kawasan rendah apatah lagi jarak Sungai Golok hanya 40 meter sahaja daripada kampung mereka.

– BERNAMA

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 11:02am
d