mutakhir

MAQIS tahan buah mangga, ubi keladi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah menahan sebuah lori dan merampas 1,200 kilogram (kg) buah mangga dan 1,600 kg ubi keladi bernilai RM5,000 kerana tidak mempunyai dokumen masuk secara sah.

Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, lori itu ditahan MAQIS dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) pada jam 10.30 malam berhampiran kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Pengarah MAQIS, Lily Rosalind Pakianathan berkata, semua barangan itu adalah hasil keluaran dari negara jiran dan hasil pemeriksaan mendapati ia dibawa masuk tanpa dokumen sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

Beliau berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3).

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Penahanan barang rampasan ini adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak terutamanya yang terdapat pada mangga iaitu kumbang pengorek buah (sternochetus mangiferae).

“Sekiranya serangga perosak ini terlepas ke negara ini ia boleh menyebabkan industri pertanian terjejas dan mendatangkan kerugian kepada pengusaha tanaman pertanian jika ia tidak dikawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lily Rosalind berkata, Akta 728 ini diguna pakai untuk memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia selain dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Beliau berkata, barang yang disita akan diluluskan mengikut prosedur operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit dapat dicegah.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dalam kes ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 11:26am
d