mutakhir

C70 Ahmad Faizul paling 'handsome'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

MINAT mendalam terhadap tema klasik memberi idea kepada seorang pemandu lori menghias Honda C70 milik bapanya yang sudah berusia lebih 30 tahun.

Ahmad Faizul Ahmad Yusof, 37, dari Tanjung Belanja, Parit mengubah suai ‘kapcai’ yang asalnya berwarna biru kepada merah candy yang menampilkan warna lebih ‘seksi’ dan menarik perhatian.

Menurutnya, dia berbelanja lebih RM4,000 untuk mengubah suai motosikal lama bapanya, Ahmad Yusof Ahmad, 67, mengikut citarasa tersendiri sejak tiga tahun lalu.

“Saya dan ayah berkongsi minat terhadap motosikal klasik dan kami fikir dari dibiarkan saja motosikal ini baik diberikan nafas baru.

“Motosikal lama jika dijaga dan dihias ia akan menjadi lebih cantik dan menarik sekali gus memberikan nilai pasaran yang tinggi.

“Macam motosikal ini harga paling tinggi boleh capai RM6,000 tetapi kami tidak akan menjualnya kerana ia antara motosikal yang paling disayangi selain sebuah vespa,” katanya ketika ditemui pada Fiesta Koperasi dan Usahawan Parlimen Lumut 2019 di Seri Manjung, hari ini.

Pada program itu, motosikal milik Ahmad Faizul mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Motosikal Handsome.

Katanya, dia turut memasang pengangkut atau ‘treler’ di belakang Honda C70 lampu bulat itu yang bukan saja memudahkan pergerakan jika mahu ke pertunjukan motosikal, malah memberikan kelainan kepada jentera.

“Enjin motosikal ini masih menggunakan yang lama dan kami cuma menukar warna dan menambah aksesori krom supaya lebih berkilat.

“Sepanjang tiga tahun ini, sudah lebih 10 pertandingan kami sertai dan tahun ini tujuh penyertaan kami berjaya mendapat tempat pertama untuk kategori Honda Cup bulat tercantik,” katanya.

Ahmad Faizul berkata, kerana terlalu sayangkan motosikal berkenaan, dia dan bapanya hanya sesekali membawa jentera itu berjalan di sekitar kampung namun akan selalu memanaskan enjin.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 12:33pm
d