mutakhir

Terpaksa buat dialisis di PPS

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

SEORANG warga emas terpaksa melakukan dialisis di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, di Kuala Selangor berikutan rumahnya dinaiki air sejak petang semalam.

Jumali Ghani, 60, berkata, ketika kejadian, dia sedang mengemas rumah bagi menghadapi bencana banjir, namun tidak menyangka air naik dengan begitu pantas sehingga ke paras betis hanya dalam tempoh sejam.

“Saya dengar air melimpah keluar dari bilik air dan terus ambil peralatan dialisis kerana ia adalah keperluan yang paling penting.

“Saya juga tidak mengambil masa yang lama untuk berpindah ke PPS kerana bimbang akan dijangkiti kuman daripada air banjir yang naik dengan pantas,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, hari ini.

Katanya yang terpaksa menjalani proses dialisis sejak setahun lalu, kejadian banjir kali ini mengingatkannya kepada arwah isteri yang baru saja meninggal dunia minggu lalu.

“Sebelum ini, jika berlaku banjir teruk, arwah isteri yang akan duduk di PPS kerana dia menghidap kencing manis dan perlu dipindahkan segera.

“Kini, saya pula yang terpaksa ditempatkan di bilik rawatan di PPS seolah saya yang mengganti tempat arwah. Mujurlah anak dan menantu ada kerana saya tidak mampu lakukannya seorang diri,” katanya.

Berikutan keperluan untuk menjalani dialisis, Jumali diletakkan di Bilik Kesihatan di PPS berkenaan.

Katanya, setiap hari, dia perlu menjalani dialisis empat jam dalam sehari, dan selalunya mengambil masa kira-kira sejam untuk selesai.

Turut kelihatan di bilik berkenaan, kotak air bersih yang diperlukan untuk proses dialisis berkenaan.

Difahamkan, selain Jumali, ada seorang lagi pesakit buah pinggang yang dipindahkan ke pusat pemindahan itu tetapi berikutan tidak sempat membawa peralatan untuk dialisis, pesakit berkenaan dihantar ke hospital.

Jumali antara 492 mangsa daripada 138 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak 23 Oktober lalu berikutan hujan lebat selama seminggu pada sebelah petang.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 12:58pm
d