mutakhir

ICETIA19 tarik minat penyertaan antarabangsa

Oleh Firdaus Hashim

KOLEJ Universiti Geomatika julung kalinya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Teknologi Baru & Aplikasi Inovatif 2019 (ICETIA19) di Pusat Innovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGiC), di Cyberjaya.

Persidangan berkenaan berjaya menarik minat lebih 300 penyertaan dari dalam dan luar negara khususnya pakar-pakar teknologi maklumat, syarikat multimedia dan institut pengajian tinggi.

Bertemakan 'Memperkasakan Pembangunan Modal Insan untuk IR4.0', penganjuran ICETIA 2019 nyata berjaya mencapai objektifnya bersama pemain industri.

Antara objektif utama penganjuran adalah untuk membina ruang intelek dan diskusi yang aktif dan proaktif, membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu serta menjadi platform usahawan bertukar idea dan rangkaian.

Dalam ucapan perasmian oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTS) di Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar berkata, kemunculan ekonomi digital adalah pendorong utama kepada pertumbuhan dan pembangunan sesebuah negara.

Katanya, secara tidak langsung dapat merangsang daya saing secara serentak.

"Menerusi teknologi, ia dapat mewujudkan peluang baru untuk aktiviti-aktiviti perniagaan dan keusahawanan, membuka lebuh baru untuk pasaran global dan memberikan jalan kepada pemain-pemain tempatan untuk meningkat naik dan menjadi sebahagian daripada E-rantaian nilai global.

"Lantas saya amat mengalu-alukan usaha baik Kolej Universiti Geomatika ini dalam menganjurkan ICETIA 2019. Difahamkan, ia akan diteruskan lagi pada tahun 2020 di Kota Kinabalu, Sabah dalam menyahut wawasan kemakmuran bersama 2030 sebagaimana yang digariskan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Persidangan ini juga berjaya menarik minat sebanyak 10 firma berteraskan 'Emerging Technology' yang mempamerkan produk-produk seperti IOT, geospatial dan drone technology, keselamatan siber dan data peribadi, virtual reality, artificial inteligence (AI) dan teknologi pendidikan alaf 21.

Selain itu, pengerusi ICETIA 2019, Prof Dr Mohaizi Mohammad mengakui, menerusi persidangan ini akan memberi impak yang besar kepada lebih dari 50 IPTS bumiputera di seluruh Malaysia dalam mengaplikasikan teknologi pembelajaran alaf 21 sejajar dengan IR4.0.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 2:35pm
d