mutakhir

Kalau sudah jodoh

Oleh Adnan Ibrahim

JIKA sudah berkenan, tidak perlu tunggu lama. Hanya dengan berbalas panggilan telefon selama sebulan, dua warga emas akhirnya menamatkan persahabatan mereka ke jinjang pelamin, hari ini.

Bermula dengan usikan anak-anak serta rakan sekampung, Musa Mohd Yusuf, 68, dan pasangannya, Jamilah Hassan, 67, tidak menyangka dengan hanya berhubung melalui telefon ikatan kasih mereka terpaut hingga bergelar suami isteri.

Musa berkata, sebab utama dia memilih Jamilah sebagai isterinya adalah kerana namanya hampir sama dengan arwah isterinya yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Katanya, pada mulanya anak-anak kedua-dua pihak yang menyarankan mereka berdua bersatu kerana masing-masing tinggal seorang selepas anak tinggal berasingan sebaik mendirikan rumah tangga.

“Kami berhubung melalui telefon hanya untuk bertanya khabar, namun selepas hampir sebulan saling berbalas panggilan dan mencurah rasa hati, saya pun berbincang dengan anak dan cucu, Alhamdulillah mereka setuju.

“Melihat keadaan itu, dengan panggilan telefon, saya melamarnya dan tidak menyangka diterima dengan hati terbuka malah dia pun meluahkan sudah lama menyimpan hasrat sama seperti saya,” katanya ketika ditemui pada majlis persandingan di rumah isterinya di Kampung Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat, hari ini.

Musa yang mempunyai tiga anak dan 12 cucu manakala Jamilah memiliki tujuh anak serta 16 cucu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

Sementara itu, Jamilah yang bergelar ibu tunggal selepas kematian suaminya kira-kira sembilan tahun lalu memilih Musa kerana merasakan boleh memberikan kasih sayang serta menjaganya selepas sekian lama tinggal seorang.

“Memang saya tidak sangka, kami baru berhubung Julai lalu dan hanya kira-kira sebulan selepas itu dia mencurahkan rasa hatinya.

“Saya tidak teragak-agak menerima lamarannya walaupun selama ini kami hanya berhubung menggunakan telefon,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 3:22pm
d