mutakhir

Kerusi roda untuk Kamareeah

Oleh Siti Rohana Idris

SEBUAH kerusi roda boleh laras disumbangkan kepada Kamareeah Arwea yang terlantar hampir setahun lalu selepas pembedahan membuang tumor di kepala.

Kisah Kamareeah, 36, sebelum ini tular kerana mengandung dan melahirkan bayi dalam keadaan koma sehingga anaknya, Farah Hanis Fairol Haziri yang kini berusia lima bulan digelar bayi ajaib.

Suaminya, Fairol Haziri Rahim, 44, berkata hampir setahun isterinya terlantar dan hanya bergantung kepada susu untuk meneruskan hidup.

“Doktor sudah mencadangkan supaya isteri diletakkan di kerusi roda dan dibawa keluar mengambil angin yang boleh dijadikan sebagai salah satu rawatannya.

“Bagaimanapun saya tidak mampu menyediakannya malah dia memerlukan kerusi roda khas kerana tubuhnya tidak kuat untuk menampung diri tanpa sokongan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu, baru-baru ini.

Bantuan kerusi roda itu disumbangkan oleh sebuah syarikat automobil, Mayazia Sdn Bhd yang diserahkan menerusi GOHEK iaitu gabungan empat badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada The Third Force, Geng Tolong Orang, Ikasih dan Cempaka Merah Asnaf Solution.

Fairol Haziri berkata, setiap hari dia akan membuat urutan di kaki dan tangan isterinya seperti yang disarankan doktor selepas menguruskan rutin harian termasuk memberi susu menerusi tiub dan memandikannya.

Katanya, setiap malam dia akan membawa anak sulungnya, Farras Hazim yang berusia setahun untuk tidur bersama dalam bilik yang menempatkan Kamareeah bagi membiasakan anaknya itu dengan keadaan ibunya.

“Saya perlu berhati-hati dalam menguruskan isteri kerana sebahagian tempurung kepalanya sudah dibuang ketika menjalani pembedahan membuang tumor tahun lalu.

“Doktor ada bertanyakan sama ada ingin memasukkan semula tempurung (kepala) itu atau tidak iaitu menggantikannya dengan titanium namun selepas mengetahui risikonya, saya enggan dan biarlah isteri berkeadaan begitu,” katanya.

Mengenai bayi mereka, Fairol Haziri berkata, Farah Hanis membesar seperti bayi normal lain namun beberapa hari lalu sudah menjalani pemeriksaan imbasan (MRI) di kepalanya berikutan terdapat satu benjolan ketika awal kelahirannya dan dikhuatiri ada kaitan dengan penyakit ibunya.

Bagaimanapun Fairol Haziri berkata, hasil dari keputusan MRI itu, doktor tidak melihat sebarang keraguan malah benjolan itu juga sudah tidak kelihatan.

“Alhamdulillah Farah Hanis membesar dengan baik dan semakin montel kerana mendapat susu badan dari seorang ibu susuan sehingga hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 6:21pm
d