mutakhir

Baru selesai bedah kena pindah PPS

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

WANITA warga emas yang baru selesai menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala empat hari lalu terpaksa dipindahkan berikutan pusat jagaan didudukinya dinaiki air sejak semalam.

Ng Moy, 68, antara 39 warga emas dari Pusat Jagaan Jasheria yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Difahamkan, selain Ng terdapat seorang lagi penghuni menjalani pembedahan di lutut akibat kemalangan Ogos tahun lalu.

Pengurus pusat jagaan itu, Nor Ashira Abidin, 45, berkata, ketika kejadian, dia dan semua penghuni tidur sebelum menyedari air naik sehingga ke paras buku lali pada 6.30 pagi.

“Ketika itu, saya terus menyimpan barang peribadi dan berharga di tempat selamat dan menguruskan warga emas yang kebanyakan uzur serta tak mampu menguruskan diri.

“Pada 11 malam, air naik hingga ke paras betis memaksa saya menghubungi pihak berkuasa untuk membantu memindahkan mereka (warga emas),” katanya ketika ditemui hari ini.

Ashira berkata, banjir kali ini disifatkan paling teruk berbanding dua tahun lalu yang mana kebanyakan laluan utama terpaksa ditutup akibat dinaiki air sehingga beberapa meter.

“Sepanjang 17 tahun menguruskan pusat jagaan, musibah kali ini antara yang teruk hingga semua penghuni terpaksa dipindahkan ke PPS.

“Malah saya memberi amanah kepada tiga penghuni lain untuk menjaga pusat jagaan kerana bimbang ada pihak mengambil kesempatan memecah masuk ketika musim banjir ini,” katanya.

Katanya, sepanjang banjir, dia terpaksa berada di PPS sepenuh masa bagi menguruskan keperluan penghuni pusat jagaannya.

Semua penghuni pusat jagaan itu antara 72 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak semalam berikutan hujan lebat berterusan pada sebelah petang.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 6:42pm
d