mutakhir

KLCC 'syurga' warga asing

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BAGAI di negara asing. Itu dirasai orang ramai yang berkunjung ke taman riadah pusat beli-belah KLCC sempena cuti Deepavali hari ini.

Taman itu antara beberapa lokasi tumpuan pengunjung tempatan, pelancong dan pekerja warga asing untuk ‘bersantai’ atau menghabiskan masa terluang sempena cuti umum.

Tinjauan di taman itu mendapati ia dipenuhi ramai pengunjung termasuk warga asing seawal jam 10 pagi.

Kontraktor dari Pahang, Safawi Ali, 45, berkata, dia, isteri dan lima anak berkunjung ke ibu negara sejak Jumaat lalu sempena cuti Deepavali.

Menurutnya, taman KLCC adalah antara destinasi pilihan anak-anaknya selain beberapa lokasi lain di ibu negara.

Begitupun katanya, meskipun pemandangan di taman itu menarik dengan berlatarbelakangkan bangunan KLCC namun sayangnya, setiap kali cuti umum ia dipenuhi ramai pekerja warga asing.

“Walaupun mereka tidak mengganggu tetapi sejujurnya bagi ibu bapa yang memiliki anak remaja perempuan, kami berasa kurang selesa tetapi apa boleh buat kerana ini adalah taman awam.

“Apapun, baik saya mahu pun isteri, kami sentiasa mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka terlepas daripada pandangan,” katanya.

Kakitangan swasta, Norlaily Mohd Nor, 34, berkata, warga asing biasanya datang dalam berkumpulan dan berada di kawasan taman sehingga ke lewat petang.

Katanya, keadaan itu tidak memberi keselesaan kepada pengunjung tempatan terutama golongan wanita atau remaja perempuan.

“Jika keseorangan, saya tidak akan mengunjungi taman ini ketika cuti umum.

“Mujurlah ada dua lagi rakan menemani manakala pondok polis juga terletak berdekatan, jadi, kuranglah sikit rasa kurang selamat itu,” katanya.

Sementara itu, jika di kawasan taman dikerumuni dengan pekerja warga asing, suasana sebaliknya pula berlaku di dalam pusat beli-belah berkenaan.

Ramai pelancong asing terutama dari negara timur tengah dan pengunjung tempatan turut mengambil kesempatan membeli-belah sempena cuti umum pesta cahaya itu.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 10:19pm
d