mutakhir

1 lagi PPS dibuka di Johor

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SEBUAH pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Kangkar Tebrau dibuka bagi menempatkan 55 orang daripada 16 keluarga mangsa banjir malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, semua mangsa membabitkan penduduk Kangkar Tebrau dipindahkan 8.10 malam tadi.

“Salah seorang mangsa termasuklah pesakit angin ahmar wanita lingkungan 60-an yang dipindahkan dari Jalan Nyior 3, Kangkar Tebrau.

“Pembukaan PPS itu menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini 160 orang membabitkan 40 keluarga di tiga PPS,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu sumber bomba berkata, 12 anggota termasuk sebuah jentera dan sebuah EMRS dikejarkan ke tempat kejadian dalam operasi pemindahan mangsa.

“Turut membantu anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Majlis Komuniti Kampung Kangkar Tebrau 6,” katanya.

Sehingga 8 malam tadi PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian masih menempatkan mangsa banjir sejak petang semalam.

Tan berkata, sehingga 8 malam tadi jumlah mangsa ditempatkan di pusat itu 89 orang dari 21 keluarga.

“Mangsa terbabit adalah penduduk Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Maju Jaya, Kampung Sepakat Jaya dan Kampung Pak Khalid,” katanya.

Menurutnya, banjir di lima kampung itu susulan hujan lebat sejak 3 petang semalam, sebelum mangsa dipindahkan ke PPS pada 6.45 petang.

Sementara itu, jumlah mangsa ribut di Batu Pahat kekal 16 mangsa daripada tiga keluarga dan ditempatkan di PPS SK Sungai Kajang.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 10:44pm
d