mutakhir

Mayat mangsa bot karam ditemui

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

MAYAT seorang lelaki ditemui terapung di perairan Pulau Mataking, Semporna, kelmarin dipercayai mangsa tragedi bot karam di perairan Merabung.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari, mayat tanpa baju dan berseluar pendek merah ditemui dalam keadaan kembung dan mulai reput.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, mayat itu ditemui anggota keselamatan di pos keselamatan di lokasi terbabit.

“Ia dilaporkan terapung 500 meter dari pos pemerhati di pulau terbabit dan mayat dipercayai mangsa kejadian bot karam, sebelum ini.

“Justeru, mayat lelaki itu diserahkan kepada PGA untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, juragan lelaki disyaki warga Filipina yang terselamat dalam insiden terbabit ditahan untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, lelaki itu mendakwa mereka dari Pulau Sibutu menuju ke Pulau Bongao, Filipina.

“Enjin bot mereka dilaporkan rosak sebelum juragan itu ditemui terapung di perairan negara,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian dijalankan.

Terdahulu, sebuah bot dilaporkan karam di perairan Merabung pada Khamis.

Seorang mangsa lelaki disyaki juragan bot ditemui selamat manakala mayat wanita ditemui terapung.

Penemuan mayat terbaru itu menjadikan mangsa yang hilang kepada enam orang membabitkan dua kanak-kanak dan empat orang dewasa.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 5:15am
d